Pages

Labels

Khamis, 20 September 2012

Radioterapi

Hari ini merupakan hari pertama saya menjalani radioterapi. Saya agak gentar kerana seringkali memikirkan apakah kesannya nanti pada diri saya. Proses ini hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit dan tidak menyakitkan. 


Apabila pulang ke rumah saya berasa sangat letih. Saya tertidur sehingga ke petang. Esok radioterapi ke-2 dan seterusnya hinggalah 23 kali setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Hurmm...tiap-tiap harilah ke hospital nampaknya..

Rabu, 19 September 2012

Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak


Anak kedua telah berjaya melanjutkan pelajaran- Degree in Science Architecture di Uitm.  Pada 30 Ogos 2012, dalam perjalanan menghantar anak ke Uitm Seri Iskandar, kami singgah di Kellie's Castle, Batu Gajah Perak. Kellie's Castle telah dibina pada tahun 1910 oleh  William Kellie Smith. Bangunan ini dibina mengikut rekabentuk sebuah istana Moghul di bandar Agra, India. 


Gambar  dari sisi...


                                                            Gambar hadapan...

Bayaran masuk adalah RM4 seorang. Jika membawa anak-anak, elok anda sediakan maklumat secukupnya andai mereka bertanya kerana pengunjung tidak diberi apa-apa penerangan tentang sejarah tempat ini sama ada melalui brosur atau informasi. Mungkin di masa hadapan diharapkan pihak pengurusan menyediakan lebih banyak informasi apabila projek penambahbaikan siap di bina :-) 

Selasa, 18 September 2012

Mamogram, ultrasound dan biopsi


Januari 2012

Saya mula didiagnosis sebagai pesakit kanser payudara pada bulan Januari 2012. Namun begitu saya telah melalui proses pengesanan awal sejak Disember 2011. Saya menyedari terdapat ketulan kecil seakan-akan urat yang bersimpul di payudara sebelah kiri saya. Saya memang membuat pemeriksaan sendiri payudara pada setiap bulan jadi kelainan ini menimbulkan tanda tanya di dalam diri saya. Saya tertanya-tanya!! 

Selepas period seterusnya saya memeriksa sekali lagi dan ketulan tersebut masih ada dan semakin tebal. Selepas percutian hujung tahun bersama keluarga, saya berjanji pada diri saya untuk mendapatkan rawatan. 

Januari 2011 apabila saya mula kembali bekerja, saya mengambil sehari off untuk ke PPUM. Kebetulan pada hari tersebut diadakan pemeriksaan payudara. Saya menunggu giliran dengan sabar. Memang ramai orang tetapi saya tidak kisah kerana  membawa bacaan yang secukupnya. Saya meminta untuk diperiksa oleh doktor perempuan. Apabila nombor saya dipanggil saya masuk ke bilik doktor. Seorang doktor wanita yang kecil molek menyambut saya dengan mesra. Saya diperiksa dengan teliti, sopan dan lemah lembut. Di dalam hati saya berkata .."inilah doktor yang saya mahu" . 

Doktor memaklumkan bahawa memang terdapat ketulan tetapi dalam anggaran saiz yang kecil iaitu 1.2cm. Saya diarahkan segera membuat mamogram. Selesai membuat mamogram, saya diberitahu saya disyaki dan perlu membuat ultrasound untuk kepastian. Di sana saya diperiksa dan diberitahu memang terdapat ketulan dan beberapa cycst di payudara saya...






Saya diarahkan membuat biopsi. File saya dicatat "urgent". Saya mulai resah gelisah. Temujanji saya dibuat serta-merta keesokan harinya. Saya sedikit gentar.  Malam tersebut saya mencari sebanyak mungkin maklumat tentang prosedur biopsi. Jika sebelum ini saya bersendirian ke hospital tetapi kali ini saya membawa suami. Ya...saya gentar. Alhamdulilah ...Saya menjalani 'core biopsi' tanpa sebarang masalah. 

Apabila pulang ke rumah, saya merasa agak sakit tapi saya cuba bertenang...namun ketenangan saya tidaklah seperti yang saya harapkan kerana debaran menunggu 'result' biopsi tersebut. Doktor memaklumkan bahawa pihak hospital akan menelefon saya untuk datang apabila keputusan telah sedia. Namun tiada siapa menelefon saya sehinggalah hari temu janji saya. 





Apabila tiba hari untuk mengambil keputusan dan berjumpa doktor, saya sangat risau. Saya pujuk hati saya. Tiada sesiapa di dalam keluarga saya mengidap kanser, period pertama saya apabila saya berusia 14 tahun, saya tidak mengamalkan pil perancang...bla!bla!.. jadi kemungkinan saya mendapat kanser adalah rendah.

Apabila dipanggil masuk ke bilik doktor, saya agak resah. Doktor meminta saya berbaring untuk memeriksa kesan biopsi tempohari. Setelah selesai doktor meminta saya duduk dan mengatakan " keputusan tempohari......" Saya tidak mendengar apa lagi yang dikatakan oleh doktor kecuali perkataan KANSER. Ya Allah! Di hadapan saya terbayang tiga orang anak, permata hati saya. Bagaimana!!! bagaimana jika saya.... 
Doktor memegang tangan saya. Saya cuba bertenang, suara saya bergetar menahan sebak di dada. 

Soalan pertama saya setelah saya sedikit tenang, " Doktor, di tahap berapakah kanser saya". Dengan suara memujuk doktor mengatakan berpandukan saiz tumor, kanser saya di Tahap 1 tetapi semuanya bergantung kepada keputusan pembedahan nanti.  Doktor menjelaskan satu persatu rawatan yang bakal saya lalui. Buat masa sekarang doktor hanya menyebut lumpektomi (pembedahan membuang ketulan dan tisu sekitarnya) diikuti radioterapi sebulan selepas pembedahan nanti. Saya pasrah!

Kanser Payudara




Kanser Payudara merupakan sejenis kanser yang paling digeruni oleh wanita. Namun begitu lelaki juga tidak terkecuali namun peratusannya adalah rendah berbanding wanita. Apabila sesiapa sahaja didiagnosis mengidap penyakit ini, sudah tentu anda merasakan bahawa dunia ini seakan-akan berhenti berputar. Begitu jugalah dengan diri saya.

Minggu pertama, fikiran saya hanyalah bertumpu pada perkataan KANSER semata-mata. Dalam kekusutan fikiran saya cuba mendapatkan maklumat secukupnya daripada internet. Saya mengisi pengetahuan saya selengkapnya dengan ilmu tentang kanser. Apa yang saya dapati tidak ramai yang sudi berkongsi cerita dengan orang lain. 

Saya menjumpai banyak artikel yang ditulis oleh orang barat tentang kisah pengalaman mereka. Saya menimba pengetahuan dan panduan daripada cerita-cerita mereka. Namun begitu saya juga ingin tahu pengalaman rakyat Malaysia kerana kita terdedah pada makanan, cuaca dan persekitaran yang hampir sama. Saya sedih kerana tidak banyak maklumat yang saya dapati. 

Justeru itu,  saya mengambil inisiatif dengan menghasilkan blog ini agar dapat berkongsi pengalaman saya dengan kaum wanita di luar sana. Sekiranya anda juga mengalami nasib yang sama seperti saya, alangkah baiknya jika kita dapat berkongsi pengalaman. Jika anda sihat, mungkin anda boleh mengambil langkah berjaga-jaga!

Isnin, 30 April 2012

Kimoterapi kedua



17 April 2012 merupakan kimo saya yang kedua. Saya takut, masih takut. Sekarang mungkin lebih takut. Kenapa??? 
Saya sudah tahu bagaimana kesannya terhadap diri saya.  Pada 16 April saya memberitahu doktor semua kesan sampingan yang saya hadapi semasa kimo pertama dulu: 1) muntah yang teruk 2) Perut saya seperti bergelora- tsunami 3) lesu 4) saya recover dalam masa hampir seminggu. Doktor memberitahu muntah saya boleh diatasi. Mungkin ubat tahan muntah yang diberi dulu tidak berkesan pada saya. Jadi kali ini doktor suruh saya beli sendiri Emend yang berharga RM253. Ubat ini hanya tiga biji. Sebiji diambil sebelum kimo dan sebiji di hari kedua dan sebiji pada hari  ketiga.




Alhamdulilah, saya tidak muntah langsung kali ini. Tapi loya saya tetap ada. Saya cuba muntah supaya hilang loya dan rasa lega sebagaimana saya rasa pada kimo dulu…muntah,muntah, muntah…legaaaaa…..
Saya hanya loya tapi tidak muntah. So saya boleh makan. Malangnya selepas hari ketiga saya mula sakit tekak. Nak telan pun sukar. Kemudiannya dikuti ulcer di lidah, bibir sebelah dalam, pipi sebelah dalam mulut. Siksanya. Saya tidak lagi rasa nak makan jadi suami saya membeli bubur Mc Donald. Jadi setiap hari, inilah menu saya di samping yogurt dan jus epal. Walaupun makanan yang lembut, saya masih sukar saya nikmatinya. Saya makan sambil mata dipenuhi air mata kerana menahan sakit. 



Saya menghantar sms kepada doktor. Saya tidak mahu ke hospital dan minta doktor beritahu apa yang saya boleh lakukan di rumah. Nasihat doktor mudah saja…solution..kumur. Tapi doktor mengingatkan jika suhu badan tinggi saya mesti ke hospital. Mujur saya tidak demam. Saya lebih selesa berkumur air suam bercampur garam, minum air zam-zam (stok kat rumah dah habis jadi suami beli dekat kedai Al-Hidayah). Keadaan saya sangat lemah lebih lemah dari kimo pertama. Lesu hampir 2 minggu. Satu perkara yang ingin saya kongsi di sini ialah, saya gemar makan buah manggis setiap kali kimo. Manggis membantu mengurangkan panas badan saya. 





1 Mei 2012 saya semakin sihat walaupun ulcer masih ada. Saya sudahpun membuat temujanji dengan doktor untuk memberitahu keadaan saya esok jam 8 pagi. Semalam staff nurse menelefon suami saya bertanyakan keadaan saya setelah memberitahu doktor permintaan saya untuk bertemu doktor esok. Saya bersyukur kerana pihak PPUM  sentiasa mengambil berat keadaan saya. Lupa saya maklumkan doktor saya juga botak.hee..heee. tapi bukan kerana dia pesakit kanser tetapi dia memilih untuk botak. Selesa katanya. Jadi doktor ini selalu bergurau dengan saya dan suami setiap kali bertemu dengannya. Kali pertama saya berjumpa doktor lelaki cina botak ini, dalam hati saya kata,,,sesuai betul dia jadi pakar oncologist. Ha.haa. Walaupun pertama kali bertemu dulu, saya bertanya “ kepala doktor tak sejuk ka tak ada rambut?” Apalah punya soalan, kepala doktor pun saya nak tanya….haahaaaahaaa. Ya lah saya juga akan jadi botak jugak…so semua saya tanya…



Kimoterapi Pertama



Pada pagi 26 April saya perlu ke  hospital untuk pengambilan darah dan petangnya sesi perjumpaan dengan doktor. Memandangkan esok adalah kimo pertama saya, sesi education bersama staff nurse turut diadakan.  Kesemua apa yang disampaikan langsung tidak dapat menenangkan saya malah saya menjadi sangat risau memikirkan esok saya akan di kimo. Seharian saya di hospital dan saya sangat penat. Sebelum pulang, saya meninjau bilik kimo untuk menenangkan saya. Di situ, saya melihat beberapa pesakit lain yang sedang menjalani kimoterapi. Ada yang baring ada yang duduk. Aduh….

Keesokannya saya bersama suami menuju ke hospital. Terus terang saya katakana, saya berasa seolah-olah saya akan dipaksa duduk di atas “electrical chair” dan seterusnya badan sayan akan dialirkan dengan racun. Saya takut. “Ya Allah, selamatkanlah aku”.



Apabila nama saya dipanggil, jantung saya berdegup kencang. Saya cuba bertenang dan membiarkan jururawat menjalankan tugasnya. Di sebelah saya seorang Pak Cik dalam lingkungan 60-an sedang menjalani kimo. Pak cik itu kelihatan tenang. Saya terfikir, jika pak cik tu boleh…tak kan saya tak boleh kut. Huhu…
Aliran ubatan kimo berjalan selama hampir jam. Saya berasa sedikit kepanasan namun saya diam kerana jururawat telah maklumkan awal tadi. Saya diam. Cuba membaca tapi tiada tumpuan. Akhirnya saya berbual dengan Pak Cik tadi. Rupanya dia mengidap kanser tekak. Katanya selepas kimo dia perlu buat radioterapi pada hari yang sama. Kesannya dia akan mengalami kesukaran untuk makan. Sedihnya saya dengar. 




Setelah selesai, saya pulang ke rumah. Selepas makan tengahari saya tertidur. Apabila terjaga bermulalah episode saya. Saya mula muntah, setiap jam. Rasa nak terkeluar isi perut saya. Saya tidak boleh minum atau makan. Semuanya keluar…malah lebih daripada itu. Memang teruk keadaan saya… lembik. Anak-anak dan suami membantu saya. Saya hanya dapat tidur 3 jam saja dan selebihnya sesi muntah. Lebih teruk daripada alahan mengandungkan anak pertama saya. Keadaan ini berlarutan hingga hari ke 4 dan loya beransur-ansur kurang. Hari ke 6 saya sudah boleh bangun dan mula bersenam. Hari seterusnya saya semakin sihat dan selera makan saya 3 kali ganda dari biasa.

Saya membuat kesimpulan, kesan kimo pada saya ialah loya dan muntah. Saya perlu beritahu doktor. Namun setiap kali saya muntah, saya rasa lega…namun keadaan saya sangat lemah. Saya sedih kerana terpaksa menghadapi semua ini. Saya perlu bersabar…Ya Allah berilah kekuatan dan kesabaran buat diriku..

Keputusan Pathology




Saya perlu ke Breast Cancer Clinic untuk pemeriksaan payu dara selepas seminggu pulang ke rumah. Semasa pemeriksaan, doktor berkata semuanya ok dan pihak hospital akan menelefon saya untuk datang berbincang rawatan seterusnya di unit onkolgi. 2 minggu selepas itu, saya menerima panggilan telefon untuk temujanji.

Semasa bertemu doktor, saya dimaklumkan bahawa kanser saya berada di Tahap 2A.
Invasive,
Size tumor: 1.7cm,
Lymphatic or vascular involvement: present,
Margin of resection: negative,
Hormone receptor: positif,
Estrogen and progesterone: positive
Her2 status: negative
Lymph nodes status: one out of 20 positive

Ini bermakna lymp nodes saya yang dibuang adalah 20. Banyak tu. Hurm...dah buangkan, nak cakap apa lagi namun hanya satu sahaja yang positif kanser. Namun begitu, saya perlu menjalani kimoterapi. Saya merasakan  seperti seketul batu yang besar menghempap kepala saya. Aduh takutnya saya. 6 rounds kesemuanya. Tiga dengan FEC dan 3 lagi Taxotere. Doktor memaklumkan taxotere lebih kuat daripada FEC. Saya risau kesan sampingannya. Selepas selesai rawatan kimo, saya perlu menjalani radioterapi selama 6 minggu dan tamoxifin selama 5 tahun. Panjangnya tempoh rawatan.

Saya resah fikirkan kimo...Bagaimana? Adakah saya mampu menghadapinya? Bla, bla, bla. Bila pulang kerumah saya mula membuat research tentang kesan sampingan ini. Saya menjadi sangat risau apa tah lagi apabila kawan-kawan membayangkan kesannya amat buruk. Saya tidak dapat tidur lena. Tidur saya sering terganggu. Seminggu saya keresahan sehinggalah saya tidak sanggup lagi menanggung keresahan ini berseorangan. Saya e-mail doktor dan bertanya, apa akan jadi jika saya menolak untuk di kimo. Dr. terus membalas email saya pada hari yang sama dan memujuk saya dengan menyatakan anggaplah kesan kimo adalah ketidakselesaan sementara untuk kesan baik jangka panjang.

 Doktor meminta saya datang berjumpanya untuk diberi ubat supaya saya dapat tidur. Saya menemui doktor, dan doktor menerangkan kepada saya tentang kimo dengan lebih lanjut, Dia juga berkata jika kesan sampingan sangat teruk untuk saya, doktor sedia berbincang kaedah lain untuk membantu saya. Saya berasa sedikit lega. Doktor juga bertanya jika saya ingin bertemu seseorang untuk membantu menenangkan saya namun saya menolak kerana saya merasakan saya telah cukup maklumat tentang keadaan saya selepas kimo. 

Keputusan saya akhirnya : YA.
Saya perlu menjalani kimoterapi untuk saya, anak-anak saya, ibu bapa saya, saudara mara saya, rakan-rakan   dan semua insan yang menyayangi saya. Saya berserah kepada Allah. Saya berharap kimo tidaklah seburuk seperti yang saya bayangkan atau seperti apa yang disogokkan kepada saya oleh orang lain.