Kanser Payudara merupakan sejenis kanser yang paling digeruni oleh wanita. Namun begitu lelaki juga tidak terkecuali namun peratusannya adalah rendah berbanding wanita. Apabila sesiapa sahaja didiagnosis mengidap penyakit ini, sudah tentu anda merasakan bahawa dunia ini seakan-akan berhenti berputar. Begitu jugalah dengan diri saya.
Minggu pertama, fikiran saya hanyalah bertumpu pada perkataan KANSER semata-mata. Dalam kekusutan fikiran saya cuba mendapatkan maklumat secukupnya daripada internet. Saya mengisi pengetahuan saya selengkapnya dengan ilmu tentang kanser. Apa yang saya dapati tidak ramai yang sudi berkongsi cerita dengan orang lain.
Saya menjumpai banyak artikel yang ditulis oleh orang barat tentang kisah pengalaman mereka. Saya menimba pengetahuan dan panduan daripada cerita-cerita mereka. Namun begitu saya juga ingin tahu pengalaman rakyat Malaysia kerana kita terdedah pada makanan, cuaca dan persekitaran yang hampir sama. Saya sedih kerana tidak banyak maklumat yang saya dapati.
Justeru itu, saya mengambil inisiatif dengan menghasilkan blog ini agar dapat berkongsi pengalaman saya dengan kaum wanita di luar sana. Sekiranya anda juga mengalami nasib yang sama seperti saya, alangkah baiknya jika kita dapat berkongsi pengalaman. Jika anda sihat, mungkin anda boleh mengambil langkah berjaga-jaga!
0 ulasan:
Catat Ulasan