Hari ini merupakan hari pertama saya menjalani radioterapi. Saya agak gentar kerana seringkali memikirkan apakah kesannya nanti pada diri saya. Proses ini hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit dan tidak menyakitkan.
Apabila pulang ke rumah saya berasa sangat letih. Saya tertidur sehingga ke petang. Esok radioterapi ke-2 dan seterusnya hinggalah 23 kali setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad. Hurmm...tiap-tiap harilah ke hospital nampaknya..
Khamis, 20 September 2012
Rabu, 19 September 2012
Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak
Gambar hadapan...
Bayaran masuk adalah RM4 seorang. Jika membawa anak-anak, elok anda sediakan maklumat secukupnya andai mereka bertanya kerana pengunjung tidak diberi apa-apa penerangan tentang sejarah tempat ini sama ada melalui brosur atau informasi. Mungkin di masa hadapan diharapkan pihak pengurusan menyediakan lebih banyak informasi apabila projek penambahbaikan siap di bina :-)
Selasa, 18 September 2012
Mamogram, ultrasound dan biopsi
Januari 2012
Saya mula didiagnosis sebagai pesakit kanser payudara pada bulan Januari 2012. Namun begitu saya telah melalui proses pengesanan awal sejak Disember 2011. Saya menyedari terdapat ketulan kecil seakan-akan urat yang bersimpul di payudara sebelah kiri saya. Saya memang membuat pemeriksaan sendiri payudara pada setiap bulan jadi kelainan ini menimbulkan tanda tanya di dalam diri saya. Saya tertanya-tanya!!
Selepas period seterusnya saya memeriksa sekali lagi dan ketulan tersebut masih ada dan semakin tebal. Selepas percutian hujung tahun bersama keluarga, saya berjanji pada diri saya untuk mendapatkan rawatan.
Januari 2011 apabila saya mula kembali bekerja, saya mengambil sehari off untuk ke PPUM. Kebetulan pada hari tersebut diadakan pemeriksaan payudara. Saya menunggu giliran dengan sabar. Memang ramai orang tetapi saya tidak kisah kerana membawa bacaan yang secukupnya. Saya meminta untuk diperiksa oleh doktor perempuan. Apabila nombor saya dipanggil saya masuk ke bilik doktor. Seorang doktor wanita yang kecil molek menyambut saya dengan mesra. Saya diperiksa dengan teliti, sopan dan lemah lembut. Di dalam hati saya berkata .."inilah doktor yang saya mahu" .
Doktor memaklumkan bahawa memang terdapat ketulan tetapi dalam anggaran saiz yang kecil iaitu 1.2cm. Saya diarahkan segera membuat mamogram. Selesai membuat mamogram, saya diberitahu saya disyaki dan perlu membuat ultrasound untuk kepastian. Di sana saya diperiksa dan diberitahu memang terdapat ketulan dan beberapa cycst di payudara saya...
Saya diarahkan membuat biopsi. File saya dicatat "urgent". Saya mulai resah gelisah. Temujanji saya dibuat serta-merta keesokan harinya. Saya sedikit gentar. Malam tersebut saya mencari sebanyak mungkin maklumat tentang prosedur biopsi. Jika sebelum ini saya bersendirian ke hospital tetapi kali ini saya membawa suami. Ya...saya gentar. Alhamdulilah ...Saya menjalani 'core biopsi' tanpa sebarang masalah.
Apabila pulang ke rumah, saya merasa agak sakit tapi saya cuba bertenang...namun ketenangan saya tidaklah seperti yang saya harapkan kerana debaran menunggu 'result' biopsi tersebut. Doktor memaklumkan bahawa pihak hospital akan menelefon saya untuk datang apabila keputusan telah sedia. Namun tiada siapa menelefon saya sehinggalah hari temu janji saya.
Apabila pulang ke rumah, saya merasa agak sakit tapi saya cuba bertenang...namun ketenangan saya tidaklah seperti yang saya harapkan kerana debaran menunggu 'result' biopsi tersebut. Doktor memaklumkan bahawa pihak hospital akan menelefon saya untuk datang apabila keputusan telah sedia. Namun tiada siapa menelefon saya sehinggalah hari temu janji saya.
Apabila tiba hari untuk mengambil keputusan dan berjumpa doktor, saya sangat risau. Saya pujuk hati saya. Tiada sesiapa di dalam keluarga saya mengidap kanser, period pertama saya apabila saya berusia 14 tahun, saya tidak mengamalkan pil perancang...bla!bla!.. jadi kemungkinan saya mendapat kanser adalah rendah.
Apabila dipanggil masuk ke bilik doktor, saya agak resah. Doktor meminta saya berbaring untuk memeriksa kesan biopsi tempohari. Setelah selesai doktor meminta saya duduk dan mengatakan " keputusan tempohari......" Saya tidak mendengar apa lagi yang dikatakan oleh doktor kecuali perkataan KANSER. Ya Allah! Di hadapan saya terbayang tiga orang anak, permata hati saya. Bagaimana!!! bagaimana jika saya....
Doktor memegang tangan saya. Saya cuba bertenang, suara saya bergetar menahan sebak di dada.
Soalan pertama saya setelah saya sedikit tenang, " Doktor, di tahap berapakah kanser saya". Dengan suara memujuk doktor mengatakan berpandukan saiz tumor, kanser saya di Tahap 1 tetapi semuanya bergantung kepada keputusan pembedahan nanti. Doktor menjelaskan satu persatu rawatan yang bakal saya lalui. Buat masa sekarang doktor hanya menyebut lumpektomi (pembedahan membuang ketulan dan tisu sekitarnya) diikuti radioterapi sebulan selepas pembedahan nanti. Saya pasrah!
Kanser Payudara
Kanser Payudara merupakan sejenis kanser yang paling digeruni oleh wanita. Namun begitu lelaki juga tidak terkecuali namun peratusannya adalah rendah berbanding wanita. Apabila sesiapa sahaja didiagnosis mengidap penyakit ini, sudah tentu anda merasakan bahawa dunia ini seakan-akan berhenti berputar. Begitu jugalah dengan diri saya.
Minggu pertama, fikiran saya hanyalah bertumpu pada perkataan KANSER semata-mata. Dalam kekusutan fikiran saya cuba mendapatkan maklumat secukupnya daripada internet. Saya mengisi pengetahuan saya selengkapnya dengan ilmu tentang kanser. Apa yang saya dapati tidak ramai yang sudi berkongsi cerita dengan orang lain.
Saya menjumpai banyak artikel yang ditulis oleh orang barat tentang kisah pengalaman mereka. Saya menimba pengetahuan dan panduan daripada cerita-cerita mereka. Namun begitu saya juga ingin tahu pengalaman rakyat Malaysia kerana kita terdedah pada makanan, cuaca dan persekitaran yang hampir sama. Saya sedih kerana tidak banyak maklumat yang saya dapati.
Justeru itu, saya mengambil inisiatif dengan menghasilkan blog ini agar dapat berkongsi pengalaman saya dengan kaum wanita di luar sana. Sekiranya anda juga mengalami nasib yang sama seperti saya, alangkah baiknya jika kita dapat berkongsi pengalaman. Jika anda sihat, mungkin anda boleh mengambil langkah berjaga-jaga!
Langgan:
Catatan (Atom)